Jika anda diberi dua pilihan sama ada untuk menerima seribu ringgit daripada seorang hartawan atau anda mendermakan sejumlah wang anda kepada fakir miskin, manakah yang anda pilih ? Tentu ramai yang memilih untuk menerima wang seribu ringgit. Apatah lagi di waktu persekolah yang akan bermula tidak lama lagi. Buku, baju dan yuran anak - anak cukup untuk memeningkan kepala ibubapa. Belum lagi dengan bayaran tuisyen terutama yang akan menduduki peperiksaan penting.
Tapi seramai mana yang memilih untuk memberi sekali gus menjadi tangan yang di atas? Dari mata kasar, memberi bermakna mengurangkan jumlah yang kita miliki. Oh mana cukup lagi kalau dah diberi kepada orang lain ? Betul tu. Hakikatnya adalah seperti itu. Tapi jauh di sisi Allah, tangan-tangan yang memberi akan mendapat kembali apa yang diberikan kepada mereka yang memerlukan bahkan pulangannya cukup lumayan, ganjaran di dunia dan akhirat. Maha suci Allah yang memiliki segala kekayaan, dan Dia berhak memberi kekayaan tersebut kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Aid Qarni dalam bukunya berjudul Potret Hidup Insan Beriman menukilkan sebuah kisah benar tentang seorang lelaki yang koma dan dijangka tiada harapan untuk sembuh. Setiap hari, isteri dan anak lelakinya akan datang pagi dan petang untuk menjenguknya di hospital. Penuh ketulusan dan pengharapan, sehingga pihak hospital terkejut dengan keajaiban yang terjadi pada suatu pagi. Lelaki tadi bangkit dari komanya dengan tersenyum menunggu isteri dan anak tercinta. Mereka berpelukan gembira bersaksikan air mata seluruh warga hospital. Tentu sekali peristiwa tersebut menimbulkan tanda tanya kepada seluruh warga hospital termasuk anda.
Si isteri dan anak pun menceritakan bahawa setiap hari mereka akan datang menziarahi si ayah. Mereka akan pulang dan mensedekahkan sebahagian harta mereka kepada anak yatim dan mereka yang memerlukan serta meminta mereka mendoakan kesembuhan untuk si ayah sebelum menziarahinya buat kali kedua. Akhirnya, doa mereka untuk melihat si ayah menanti mereka dengan di katil hospital dengan senyuman dimakbulkan oleh Allah. Maha Suci Allah yang di tangan-Nya segala kekayaan, kesembuhan dan penyelesaian atas setiap permasalahan. Namun, kita seringkali membelakangkan Allah dalam mencari solusi terhadap setiap permasalahan kita.
Semoga terus bercita-cita untuk selalu menjadi tangan yang di atas.
0 comments:
Post a Comment